Kesihatan

HRT tangani gejala menopaus

SETIAP wanita akan melalui fasa 'putus haid' atau menopaus. Usia biasa wanita memasuki fasa peralihan ini ialah sekitar 50 tahun.

Namun ia juga boleh berlaku kira-kira 10 tahun lebih awal yang disebut sebagai pra-menopaus khususnya di kalangan wanita yang mempunyai sejarah keluarga menopaus awal.

Apabila seseorang wanita menghampiri putus haid, kitaran haidnya akan menjadi tidak stabil di mana kadang-kadang ia berlaku terlalu kerap atau terlalu jarang.

Ia akan diiringi dengan simptomsimptom lain seperti kesakitan sendi, hilang tumpuan, sakit kepala, kemerahan muka, tiada keinginan untuk seks dan pelbagai lagi jenis penyakit sehingga boleh mengganggu kehidupan seharian.

Sebagai wanita mereka seharusnya peka dan mengambil berat akan tanda-tanda awal menopaus.

Tanda-tanda ini amat penting agar gejala-gejala akibat daripada perubahan hormon dan fizikal yang terpaksa ditanggung seseorang wanita dapat diatasi.

Banyak tanda-tanda awal yang akan dialami seseorang wanita dalam proses pra-menopaus.

Hakikatnya, kira-kira 80 peratus daripada wanita menopaus akan mengalami gejala seperti panas, berpeluh malam dan palpitasi (gejala vasomotor).

Sekarang ini, keperitan yang dirasai ketika pra-menopaus itu dapat dikawal dan diatasi sepenuhnya melalui kaedah Terapi Penggantian Hormon (HRT).

Selaras dengan itu, dalam usaha perubatan moden bagi meningkatkan mutu kesihatan wanita, Kolej Obsetrik & Ginekologi, Akademi Perubatan Malaysia (COGAMM) telah menyediakan garis panduan amalan klinikal pertama mengenai Terapi Hormon Semasa Menopaus di kalangan wanita Malaysia.

Inisiatif COGAMM itu membabitkan projek menerbitkan buku garis panduan untuk rujukan kepada semua pakar obsetrik dan ginekologi dalam mengurangkan sebarang kekaburan tentang HRT.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal, Dr. Ong Hean Choon, HRT merupakan pilihan paling berkesan untuk menangani gejala menopaus.

Melalui rawatan HRT, ia membantu mengurangkan kesakitan dan sekali gus mengurangkan simptom menopaus.

"Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk menguruskan menopaus," katanya ketika ditemui pada Bengkel Menopaus yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, rawatan HRT terbahagi kepada dua jenis iaitu Terapi Estrogen dan Terapi Estrogen Progestin.

"Melalui kaedah ini, setiap wanita memerlukan terapi atau dos yang berlainan, kesemua itu bergantung kepada nasihat doktor dan pakar.

"Antara hormon boleh didapati seperti berbentuk pil, krim, suntikan, tampalan dan juga memasukkan alat viginal,'' ujarnya lagi.

Malah tegasnya, terdapat banyak data klinikal yang membuktikan bahawa HRT yang dimulakan di peringkat awal adalah berkesan dan selamat.

Kata beliau lagi, apabila seseorang menghampiri tempoh menopaus, keadaan dirinya menjadi lemah.

Simptom tersebut berlaku akibat perubahan tahap estrogen dalam badan daripada tinggi menjadi rendah.

Tegas Dr. Hean Choon lagi, melalui kaedah HRT ia berkesan untuk mengawal sakit kepala dan simptom akibat daripada kekurangan estrogen.

Selain itu, melalui rawatan HRT juga pesakit sebenarnya mampu mendapat perlindungan tulang daripada reput dan rosak secara perlahan-lahan.

"Apabila usia meningkat, perlindungan daripada kereputan tulang (osteoporosis) menjadi semakin penting. Banyak kejadian tulang patah yang berbahaya dapat dielakkan dengan meneruskan HRT.

"HRT jangka panjang juga boleh mengembalikan perlindungan yang diberikan oleh estrogen sebelum menopaus, iaitu daripada kemusnahan pembuluh darah yang membawa darah ke jantung, otak dan organ-organ lain,'' ujarnya.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kit pembasmi kuman ketika melancong

FAKTA perubatan mendapati bahawa 80 peratus jangkitan penyakit berjangkit disebarkan melalui tangan. Potensi itu lebih terdedah kepada mereka yang kerap mengembara atau melancong ke luar negara.

Atas dasar itu Antabax, jenama produk perlindungan anti-bakteria telah mensasarkan pelancong dari Malaysia pada Pesta Pelancongan MATTA 2011 melalui pelancaran kempen inovatif Melancong Bersih, Sihat dan Berwaspada' di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengurus Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Carmen Foo, berkata, inisiatif itu diperkenalkan kerana pihaknya percaya bahawa cara paling mudah mengurangkan kadar jangkitan ini adalah dengan memastikan tangan sentiasa dibersihkan dengan air dan sabun atau menggunakan pembersih tangan.

"Kami tidak melupakan pelancong Malaysia dan atas sebab itulah kami melancarkan inisiatif ini di Pesta Pelancongan MATTA, yang merupakan konvensyen pelancongan terbesar di negara ini.

"Tiada tempat lain sebaik konvensyen sebegini untuk mengingatkan pelancong mengenai kesihatan dan tanggungjawab mereka sewaktu meneroka dunia baru atau melawat ahli keluarga atau kenalan di luar negara," katanya.

Menurut Foo, meskipun jangkitan penyakit melalui sentuhan tangan adalah punca utama penyebaran, bahagian badan lain turut boleh dilindungi dengan menggunakan produk anti bakteria terutama ketika melancong ke negara luar.

Katanya, Antabax mempunyai rangkaian produk lengkap untuk memenuhi segala keperluan pelancong pada setiap ketika.

"Sempena konvensyen itu juga, kami mengagihkan lebih 50,000 Kit Melancong Antabax kepada pengunjung pameran.

"Setiap pek mengandungi pembersih tangan Antabax yang direka khas untuk kemudahan melancong dan digunakan bagi memenuhi segala keperluan pembersihan kulit," katanya.

Menurutnya, kit tersebut turut mengandungi panduan panggilan telefon penting termasuk syarikat kad kredit, syarikat penerbangan dan maklumat penerbangan serantau.

Pada majlis berkenaan, Duta Produk Antabax, penyanyi Ziana Zain serta suaminya, Armin Zaharin berkongsi pengalaman masing-masing mengenai cara menjaga kesihatan dan kebersihan diri ketika melancong.

Sebagai penyanyi yang banyak membuat persembahan di luar, Ziana sedar risiko tinggi dijangkiti penyakit berjangkit.

"Saya amat teliti mengenai kebersihan, bukan saja terhadap diri tetapi juga buat keluarga.

"Saya sentiasa membawa krim mandian anti-bakteria setiap kali melancong atau mengembara kerana saya tahu ia amat berkesan dan tidak mahu rutin harian saya terganggu.

"Malah semburan pembersih tangan sentiasa di dalam beg tangan kerana saya akan gunakannya ke atas apa saja tangan, tombol pintu, mikrofon, mangkuk tandas, pendek kata di mana saja tempat yang mungkin membolehkan kuman menjangkiti saya," kata Ziana.

Sementara itu sebagai Ketua Pramugara Penerbangan Malaysia, Armin mengakui sentiasa berhati-hati dalam memastikan dia tidak menyebarkan penyakit berjangkit kepada orang lain.

"Sebagai bapa dan suami, sudah pasti saya tidak mahu anak dan isteri saya jatuh sakit sejurus saya pulang ke rumah. Jadi saya begitu cermat dalam memastikan kesihatan diri.

"Selain mendapatkan suntikan vaksin selesema, saya juga memastikan penyembur pencuci tangan sentiasa berada di sisi bagi membersih tangan atau sebarang permukaan, tabiat mudah tetapi amat berguna," kata Armin.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tidur yang berkualiti


RAMAI di kalangan mereka yang bekerjaya dilihat tidak begitu mementingkan soal tidur. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu bahawa tidur yang mencukupi dan berkualiti akan membuatkan kita lebih bertenaga dan ceria untuk memulakan hari yang baik.

Senario tidak mengendahkan tidur bukanlah satu situasi yang pelik. Disebabkan itu juga ada di kalangan mereka menghidap penyakit susah tidur atau insomnia.

Setiap individu dinasihatkan mendapatkan tidur serta rehat yang secukupnya iaitu antara tujuh hingga sembilan jam sehari.

Menurut Pakar Terapi Hipnotik, Julian Leicester, tidur juga seharusnya diseimbangkan agar badan dan minda tidak mempunyai tekanan.

Katanya, seseorang yang tidurnya berkualiti akan mendapat kesihatan yang lebih baik. Jiwanya akan terasa bahagia serta kecergasan fizikal dan mindanya akan bertambah daripada mereka sentiasa terasa letih sepanjang masa.

''Sekiranya anda bangun dengan badan yang cergas serta minda yang lapang, itu bermakna anda mendapat tidur yang berkualiti.

''Jika sebaliknya, itu menandakan anda tidak mendapat tidur yang berkualiti, di mana sama ada anda tidak mendapat tidur yang secukupnya ataupun tidur anda terganggu.

''Untuk itu sebelum tidur, anda perlu memastikan bahawa minda dan badan berada dalam keadaan tenang dan rehat,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada masa yang sama, tambah beliau, gabungan bilik tidur yang sunyi selain tilam dan bantal yang sesuai juga memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan tidur berkualiti yang diingini.

Menurut Julian, tidur yang berkualiti mampu memberikan kesan menakjubkan seperti membantu meningkatkan kecekapan kerja, menggalakkan pemulihan tubuh, meningkatkan daya ingatan, penumpuan, daya kreatif dan kesejahteraan emosi.

Dalam pada itu, tambahnya lagi, kita juga seharusnya membuat undang-undang dalam bilik tidur bagi memberi keselesaan apabila tiba waktu tidur.

Untuk itu Julian memberikan beberapa tip seperti jangan jadikan bilik tidur sebagai pejabat, jangan letakkan televisyen atau radio serta jangan letakkan jam dinding.

Semua itu boleh mengganggu tidur dan secara tidak langsung akan menjadikan tidur tidak berkualiti.

Berbicara mengenai gabungan bantal dan tilam, jelas Julian, kedua-duanya mampu menjadikan malam masa yang ditunggu-tunggu.

Kedua-duanya juga merupakan salah satu kelengkapan paling penting yang sering diabaikan untuk mendapat tidur berkualiti.

Hakikatnya, ramai antara kita mengambil mudah tentang kualiti bantal dan tilam serta tidak sanggup melabur bagi memperoleh sesuatu yang penting dalam hidup kita.

Akibat penggunaan bantal dan tilam yang tidak berkualiti, rungutan seperti tidur tidak nyenyak, badan terasa letih dan sakit tulang belakang sering kedengaran.

Memang diakui, tidur yang terganggu boleh memberi pengaruh besar kepada aktiviti seharian.

''Untuk mendapat tidur yang lena, pilihlah tilam dan bantal yang dapat memberi keselesaan dan sokongan pada leher serta tulang belakang.

''Bantal dan tilam sepatutnya tidak terlalu keras atau lembut kerana sekiranya keras atau lembut ia boleh mencederakan leher serta belakang anda.

''Satu cara yang baik untuk merangsang tidur adalah menukar cadar baru selain memastikan bilik tidur cantik kemas dan bersih,'' katanya lagi.

Bagaimanapun Julian turut menasihati orang ramai agar mengelak minum kopi atau sebarang minuman yang mengandungi kafein dan pastikan perut tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang sebelum tidur.

Ia adalah untuk mengelakkan anda daripada berjaga sepanjang malam.

No comments:

Post a Comment